Sunday, June 22, 2008

IFC - Reaksi Tuntutan Pertama

Sila rujuk Apa Itu IFC dan IFC membelakangkan Perlembagaan jika anda belum membacanya.

Baiklah, saya ingin memberi reaksi atau pendapat mengenai tuntutan pertama kafir harbi melalui IFC iaitu:

Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

Begitu terang-terangan kafir harbi ini ingin "menegakkan kebebasan beragama" ataupun "human rights" walau bayi itu baru lahir. Apa hak mereka ingin menafikan hak keluarga Islam untuk mendidik bayi mereka dengan agama Islam?

Jika ini terjadi (minta dijauhkan dari betul-betul jadi), maka bapa kepada bayi tersebut tidak bolehlah melaungkan azan ke telinga anaknya yang baru lahir itu, begitu? Anda fikirkanlah bagaimana perasaan ayah bayi tersebut jika ianya berlaku.

Kita selami pula tuntutan ini dengan Melayu Islam. Sanggupkah kita benarkan tuntutan pertama ini berlaku pada kita? Saya sudah tentu tidak mahu, anda pula bagaimana? Bagaimana pula tuntutan ini dengan Perkara 160 Fasal (2) di dalam Perlembagaan Malaysia?

Perkara 160 Tafsiran di bawah Bahagian 12 Am dan Pelbagai.

Per. 160 (2) : "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan- (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Cuba anda skrol sedikit ke atas dan baca sekali lagi tuntutan pertama IFC. Apa yang anda fikirkan apabila anda baca ""Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam"? Anda nampak kesan yang bakal berlaku jika tuntutan itu menjadi kenyataan? Saya terangkan secara ringkas, di dalam perlembagaan (undang-undang), Melayu adalah penganut agama Islam. Bermakna lahir di dalam keluarga Melayu Islam, hak penjagaan dan hak mendidik agama Islam terletak kepada keluarga Melayu Islam tersebut. Tuntutan itu pula jelas menafikan perlembagaan yang telah ditetapkan sejak dulu lagi apatah lagi ia juga akan mengikis unsur kemelayuan malah hilang arah tuju agama Islam di dalam diri orang-orang Melayu. Fikirkanlah kesannya dalam jangka masa panjang.

Sama-samalah kita mendoakan perkara ini tidak akan berlaku. Reaksi yang seterusnya akan saya utarakan pada entri yang berikutnya.

0 comments: