Sunday, June 29, 2008

Wahai Anwar, kalau tak salah, mengapa perlu gelabah?

Agak pelik kenapa Anwar Ibrahim menggelabah apabila seorang lelaki membuat laporan polis mengenai kes liwat keatas diri lelaki tersebut. Tetapi yang pelik Anwar menggelabah tak tentu pasal dan mengganggap laporan tersebut adalah untuk menjatuhkan karier politiknya. Saya pelik kerana kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin ketika disoal media:

Mengenai dakwaan Anwar bahawa kes itu satu percubaan menyekat kebangkitan karier politiknya, beliau berkata: “Kita (polis) tidak sebut pun siapa suspek dalam kes ini tetapi kalau dia sendiri (Anwar) fikir dia suspek, dia sepatutnya buat laporan polis tentang perkara itu. (Sumber: Utusan)

Menggelabah tak tentu pasal. Kalau tak salah, apa kejadahnya buat kenyataan begitu? Mengapa saya kata si Anwar ini menggelabah? Baca ini, ini dan ini. Kelakar betul si menggelabah ini. Malah apabila dia sanggup mengatakan keselamatannya terancam dan tindakannya meminta perlindungan daripada kedutaan Turki adalah satu penghinaan kepada Malaysia. Apa dia ingat Malaysia ini sedang berperang?

Jelas si Anwar ini ingin menunjukkan atau menggambarkan bahawa Malaysia ini "tidak selamat" kepada seorang "pemimpin yang benar" seperti dirinya. Malah juga menggambarkan Malaysia seolah-olah lemah dari segi keselamatan dan kuasa dengan tindakannya meminta perlindungan Turki. SENGAL! Inilah perilaku RETORIK Anwar hingga sanggup mencemarkan nama negara sendiri!

Wednesday, June 25, 2008

Sultan Perak bertitah - updated

Jangan cabar Islam - Sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat – Sultan Azlan

Oleh ZAINI RABAN

IPOH 24 Jun – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini mengingatkan rakyat supaya jangan menguji dan mencabar isu-isu berkaitan agama Islam hingga ke peringkat yang boleh menimbulkan kegelisahan rakyat.

Menurut baginda, ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara mungkin tercetus kerana perkara mengenai agama sangat sensitif dan menyentuh emosi.

“Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersenda, selagi Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi,” titah Sultan Azlan ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini.

Komen saya: Jelas dan terang Sultan Perak menegakkan keutamaan agama Islam serta umatnya (yang Melayu Islam terutamanya) dan menjelaskan bahawa rakyat bukan Islam perlu menghormati agama rasmi Malaysia dan sebaliknya. Titah baginda selari dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan iaitu Islam agama bagi Malaysia dan juga kedudukan baginda sebagai ketua agama.

Perak diperintah kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu apabila ketiga-tiga parti itu menguasai 31 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) memiliki 28 wakil dalam DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Baginda turut mengingatkan anggota Dewan Undangan Negeri Perak supaya memelihara kemuliaan dewan menerusi perkataan, perbuatan serta tingkah laku selain cara dan adab berpakaian bagi menghormati adat dan resam yang melambangkan kemurnian budaya dan ketinggian tamadun.

Sultan Azlan bertitah, agama Islam diberi pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara dan menjadi tunjang utama dalam pembentukan minda serta budaya khususnya dalam kalangan orang Melayu.

Titah baginda, berdasarkan latar belakang tersebut, Islam diterima dan diiktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan dan perlindungan sewaktu perjanjian merdeka dirintis.

Komen saya: Sultan Azlan telah menekankan perkara dalam Perlembagaan tetapi mengapa masih lagi ramai, jika bukan semua, Melayu yang masih lagi alpa. Malah bersekongkol dengan harbi.

Justeru, baginda bertitah, masjid dan surau yang merupakan rumah suci Allah juga hendaklah bebas daripada pengaruh mana-mana fahaman politik kepartian.

“Demi menjamin perpaduan ummah, beta sama sekali tidak membenarkan masjid dan surau dijadikan pentas untuk menjalankan kempen-kempen politik kepartian,’’ tegas baginda.

Komen saya: Apa yang saya ingin katakan mungkin anda percaya atau tidak percaya, tetapi kebenaran berlaku di depan mata saya. Masih ada lagi Imam yang menyuntik doktrin menolak Pak Lah dan wawasannya dengan isu minyak dan tidak menjelaskan isu itu dengan fakta. Yang hanya diutarakan adalah persoalan-persoalan negatif supaya jemaah memikirkan perkara yang negatif sahaja terhadap Pak Lah. Ketika khutbah Jumaat pula tu.

Pada masa sama, Sultan Azlan mahu kemuliaan DUN Perak dan adat sopan ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa dipelihara baik secara perkataan, perbuatan dan tingkah laku.

Tata cara dan adab berpakaian setiap wakil rakyat, titah baginda, juga hendaklah menghormati adat dan resam yang melambangkan kemurnian budaya dan ketinggian tamadun.

‘‘Beta berharap agar persidangan pertama DUN Perak kali ini dapat berlangsung dalam suasana harmoni serta berupaya menghasilkan pandangan dan idea bernas hingga dapat dijadikan panduan kepada anggota pentadbiran kerajaan,’’ titah Sultan Azlan.

Baginda turut berharap agar kerajaan negeri yang telah diberi perkenan untuk dibentuk berikutan pemilihan yang telah dilakukan oleh rakyat dapat mengotakan segala janji pembangunan.

Sejak merdeka pada tahun 1957, inilah kali pertama kerajaan negeri Perak tidak diperintah oleh perikatan parti UMNO, MCA dan MIC yang menjadi tunjang BN.

“Masa berkempen telah berakhir dan kata-kata yang menjurus kepada kepentingan politik kepartian hendaklah dihentikan,” titah baginda.

Menurut Sultan Perak, mengurus sebuah kerajaan memerlukan pendekatan berlainan dengan era berkempen dan segala tindakan hendaklah disandarkan kepada undang-undang dan peraturan.

Titah Baginda: ‘‘Perbuatan rasuah, diskriminasi dan salah guna kuasa tidak harus dibenarkan berlaku. Beta menyeru supaya semua pihak memiliki azam dan kesungguhan untuk memaju dan membangunkan negeri Perak.”

Ampun Tuanku

Tuesday, June 24, 2008

Sultan Perak bertitah

Isu agama jangan diuji – Sultan Perak

24/06/2008 2:09pm

IPOH 24 Jun – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini mengingatkan rakyat supaya isu berkaitan agama tidak diuji dan dicabar hingga ke peringkat yang boleh menimbulkan kegelisahan.

Menurut baginda, ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara boleh tercetus kerana perkara mengenai agama sangat sensitif dan menyentuh emosi.

“Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersenda, selagi Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Baginda turut mengingatkan anggota Dewan Undangan Negeri Perak supaya memelihara kemuliaan dewan menerusi perkataan, perbuatan serta tingkah laku selain cara dan adab berpakaian bagi menghormati adat dan resam yang melambangkan kemurnian budaya dan ketinggian tamadun. – BERNAMA.

Sunday, June 22, 2008

IFC - Reaksi Tuntutan Pertama

Sila rujuk Apa Itu IFC dan IFC membelakangkan Perlembagaan jika anda belum membacanya.

Baiklah, saya ingin memberi reaksi atau pendapat mengenai tuntutan pertama kafir harbi melalui IFC iaitu:

Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

Begitu terang-terangan kafir harbi ini ingin "menegakkan kebebasan beragama" ataupun "human rights" walau bayi itu baru lahir. Apa hak mereka ingin menafikan hak keluarga Islam untuk mendidik bayi mereka dengan agama Islam?

Jika ini terjadi (minta dijauhkan dari betul-betul jadi), maka bapa kepada bayi tersebut tidak bolehlah melaungkan azan ke telinga anaknya yang baru lahir itu, begitu? Anda fikirkanlah bagaimana perasaan ayah bayi tersebut jika ianya berlaku.

Kita selami pula tuntutan ini dengan Melayu Islam. Sanggupkah kita benarkan tuntutan pertama ini berlaku pada kita? Saya sudah tentu tidak mahu, anda pula bagaimana? Bagaimana pula tuntutan ini dengan Perkara 160 Fasal (2) di dalam Perlembagaan Malaysia?

Perkara 160 Tafsiran di bawah Bahagian 12 Am dan Pelbagai.

Per. 160 (2) : "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan- (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Cuba anda skrol sedikit ke atas dan baca sekali lagi tuntutan pertama IFC. Apa yang anda fikirkan apabila anda baca ""Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam"? Anda nampak kesan yang bakal berlaku jika tuntutan itu menjadi kenyataan? Saya terangkan secara ringkas, di dalam perlembagaan (undang-undang), Melayu adalah penganut agama Islam. Bermakna lahir di dalam keluarga Melayu Islam, hak penjagaan dan hak mendidik agama Islam terletak kepada keluarga Melayu Islam tersebut. Tuntutan itu pula jelas menafikan perlembagaan yang telah ditetapkan sejak dulu lagi apatah lagi ia juga akan mengikis unsur kemelayuan malah hilang arah tuju agama Islam di dalam diri orang-orang Melayu. Fikirkanlah kesannya dalam jangka masa panjang.

Sama-samalah kita mendoakan perkara ini tidak akan berlaku. Reaksi yang seterusnya akan saya utarakan pada entri yang berikutnya.

Wednesday, June 11, 2008

IFC membelakangkan Perlembagaan

Sila rujuk Apa Itu IFC jika anda belum membacanya.

Atau dengan kata lain yang lebih kasar, kurang ajar dan biadap terhadap perlembagaan (undang-undang tubuh) sebuah negara Islam, Malaysia.

Mengapa saya berkata begitu? Lihat sahaja 14 tuntutan yang mereka yang jelas dan terang tidak menghormati undang-undang yang telah ditetapkan untuk tidak mengganggu kedaulatan Islam dan umatnya di Malaysia ini, apatah lagi tuntutan mereka juga adalah jelas menghina Islam. Mereka ini tidak menghormati dan mematuhi Rukunegara ke-3 iaitu Keluhuran Perlembagaan. Apatah lagi menghormati Islam yang kita cintai.

Maka persoalannya, apa kaitan perlembagaan dengan IFC? Berikut saya terangkan.

Perlembagaan (undang-undang tubuh negeri/negara) Malaysia pada Perkara 11 Kebebasan Beragama di bawah Bahagian 2 Kebebasan Asasi.

Perkara 11 Kebebasan Beragama ini sering disalah erti atau mungkin buat-buat tak reti oleh segelintir individu atau organisasi (dalam konteks ini: IFC) demi melaksanakan agenda mereka untuk "menegakkan human rights" atau "kebebasan agama yang sebenar" atau "untuk mengelakkan salah faham antara agama". Apakah yang terdapat di dalam Per. 11 tersebut?

Per. 11 (1) : Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Fasal (1) dengan jelas telah menyatakan bahawa rakyat Malaysia boleh dan bebas mengamalkan agama yang mereka pilih dan juga boleh mengembangkan agama mereka. Timbul pula persoalan, bahawa agama selain Islam bolehlah berdakwah kepada orang lain termasuk umat Islam? Tidak sama sekali. Mengapa? Baca semula Fasal (1) terdapat "tertakluk kepada Fasal (4)" sebelum boleh mengembangkan/berdakwah. Maka apa dia Fasal (4) tersebut?

Per. 11 (4) : Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

MENGAWAL atau MENYEKAT apa segala bentuk atau cara atau kaedah atau pertubuhan atau apa sahaja yang mengganggu kedaulatan Islam dan umatnya yang majoriti Melayu di dalam negara ini telah ditekankan di dalam Per. 11 Fasal (4). Jelas IFC adalah badan yang cuba berselindung di sebalik "human rights" tapi tidak mahu menerima undang-undang yang telah ditetapkan di Malaysia.

Mengenai Fasal (2), (3) dan (5) di dalam Per. 11 tidak perlu saya sentuh dan menjadi tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia untuk membeli buku perlembagaan, hanya RM10 sahaja. Yang saya ingin tekankan dan anda fahami adalah Fasal (4) yang jelas menunjukkan untuk menjaga kedaulatan Islam di Malaysia.

Saya juga akan memberi reaksi kepada setiap tuntutan IFC di dalam entri yang berlainan. Mungkin satu tuntutan, satu entri reaksi. Ada lagi perkara-perkara di dalam Perlembagaan yang saya ingin sentuh tetapi saya akan sentuh dari masa ke semasa di dalam entri saya yang akan datang.

Buku perlembagaan rujukan saya ialah Perlembagaan Persekutuan Beserta Index diterbitkan oleh MDC Publishers Sdn Bhd. Semua pindaan sehingga Ogos 2007.

Tuesday, June 10, 2008

Apa itu IFC?

Di sini saya mulakan dengan menerangkan secara ringkas apa itu IFC dan 14 tuntutannya yang sangat membahayakan kepada agama suci Islam terutama sekali kepada Melayu Islam. Anda ingin terima atau tidak realitinya satu tuntutan mereka telah berjaya dilaksanakan di Selangor.

Apa itu IFC? Nama penuhnya adalah Interfaith Council. Sebelum ini dikenali sebagai Inter Religious Council. Secara 'zahirnya' pertubuhan ini seolah-olah berniat murni untuk membuka ruang dialog antara agama supaya tiada salah faham tetapi yang sebenarnya adalah untuk menjatuhkan Islam dan menidakkan Islam kepada umat Islam sendiri di Malaysia ini. Siapa majoriti umat Islam di Malaysia ini? Sudah tentu MELAYU ISLAM. Mengapakah ingin menjatuhkan Islam? Kita lihat siapa di belakang IFC kemudian 14 tuntutan yang mereka inginkan.

IFC didalangi beberapa pemimpin Pakatan Rakyat antaranya adalah Sivarasa a/l Rasiah ( Naib Presiden PKR ), Tian Chua ( Ketua Penerangan PKR ), Ronnie Liu ( Setiausaha Hal Ehwal Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan DAP Pusat ), Elizabert Wong Keat Peng ( Ketua Penerangan Wanita PKR ). Berikut adalah 14 tuntutan dari IFC:

i. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

ii. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

iii. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.

iv. Tidak perlu dicatatkan didalm kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

v. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menagnut agama Islam sekiranya ingin berkahwin dengan ornag Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

vi. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk agama Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

vii. Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

viii. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadah orang bukan Islam sebagimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

ix. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

x. Bible dalam bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

xi. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agam itu hendaklah diajar disemua sekolah.

xii. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahas ibunda masing-masing.

xiii. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

xiv. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Lihatlah bagaimana mereka merangka tuntutan yang jelas ingin menyamaratakan Islam yang diredhai Allah dengan agama-agama mereka yang kufur itu.

Seterusnya saya akan mengupas serba sedikit mengenai tuntutan ini terutama sekali kepada kedudukan Islam di Malaysia serta Melayu Islam di dalam entri yang berlainan.

Berikut adalah links yang boleh anda pergi dan baca untuk mendapatkan lagi maklumat mengenai IFC:

Tuntutan IFC berjaya

Tuntuan IFC:Kenapa perlu dibantah

Ruangan komen dari Pembela Melayu

Penulisan seorang Peguam Syarie yang ada menyentuh soal IFC:

Tuntutan NGO Islam - Peguam Menulis

Bila pulak kerajaan Perak sekarang dapat "mandat" dari rakyat

Dah dikatanya Tajul Rosli tak gentleman, lepas tu dikatanya kerajaan campuran dari Perak sekarang mendapat mandat dari rakyat Perak. Betul ke? Berikut analisa ringkas dari saya dan pendapat saya. Terpulang pada anda nak terima atau tidak.

1. Siapa yang menang sebenarnya di Perak (DUN) pada PRU-12?

  BN PAS DAP PKR Bebas
DUN 28 6 18 7 0

Jadual di atas menunjukkan BN mengatasi semua parti pembangkang dengan memenangi 28 buah kerusi (UMNO 27 kerusi + MCA 1 kerusi). Jumlah kerusi DUN di Perak adalah 59 kerusi. Majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan di Perak adalah sebanyak 30 kerusi. Bermakna BN kekurangan 2 kerusi untuk membentuk kerajaan. Jika UMNO sahaja ingin membentuk kerajaan maka mereka kekurangan 3 kerusi.

Maka dari segi matematiknya, jelas menunjukkan juga parti pembangkang tidak boleh membentuk kerajaan kerana jauh dari bilangan kerusi yang diperlukan.

Tetapi bagaimana mereka dapat memerintah? Mudah sahaja. Sekarang kerajaan campuran DAP + PKR + PAS. Maka jumlah kerusi mereka adalah sebanyak 31 kerusi. Maka terbentuklah kerajaan Perak sekarang ini yang terhasil dari keegoaan dan kegilaan PAS yang sanggup bersekongkol dengan kafir harbi kerana mahukan kuasa. Mandat rakyatkah ini? Rakyat apa? Melayu Islam? Bagi yang taksub sudah tentu mempertahankannya.

2. Sekarang kuasa pada siapa?

Setelah berjaya membuat "pakatan" semata-mata ingin memerintah, maka dengan izin Allah yang disalurkan melalui bijaksana Melayu dahulu yang telah menetapkan bahawa Menteri Besar negeri Perak perlulah seorang Melayu yang beragama Islam. Jikalau tidak sudah tentu Melayu Islam sekarang ini menerima nasib yang sama seperti di Pulau Pinang, diperintah oleh kafir harbi. Maka seronoklah penyokong-penyokong PAS kerana Menteri Besar dipilih daripada kalangan mereka walaupun bilangan kerusi mereka "ciput" sahaja.

Setelah melalui proses yang bagi saya "menyampah" kerana nak lantik MB bukan main payah kerana biadap DAP harbi kepada Sultan Perak, maka proses lantikan exco pula dilakukan. Nyatalah exco yang dipilih adalah "mandat" dari rakyat Melayu Islam dimana hanya 2 orang Melayu Islam sahaja (yang dikhuatiri perjuangannya untuk agama dan bangsa) berada di dalam barisan exco negeri Perak. Bermulalah era retorik nyata dari "Pakatan Rakyat" iaitu DAP + PKR + PAS. Kuasa pada siapa? Sudah tentu DAP kerana sesuatu perkara yang ingin diluluskan adalah melalui exco dan fikirkanlah apa yang berlaku di Selangor apabila had pembinaan rumah ibadat bukan Islam dihapuskan. Di Perak hanya tunggu masa sahaja. Mendapat "mandat"lah katakan.

3. Sayangnya PAS tidak mahu bersama UMNO

Kerusi UMNO yang dimenangi sebanyak 27 kerusi berbanding kerusi PAS sebanyak 6 kerusi (beza sebanyak 21 kerusi!) sudah tentu menunjukkan rakyat Perak masih memberi mandat kepada BN (mungkin bukan MCA kerana menang 1 sahaja). Tetapi kerusi yang dimenangi UMNO menunjukkan Melayu Islam secara majoriti yang besar masih lagi percaya kepada UMNO.

Cuba kita lihat semula majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Perak ialah 30 kerusi. Maka diantara 6 kerusi PAS, jika 3 kerusi diberi pada UMNO ataupun dikongsi bersama UMNO sudah tentu cukup untuk membentuk kerajaan Perak yang diterajui MB Melayu Islam dan barisan exco Melayu Islam. Sudah tentu Melayu Islam yang berkuasa.

Tetapi kerana keegoan dan dendam kepada UMNO dijadikan batu penghalang untuk bergabung. Malah sanggup mengatakan "lebih baik berkerjasama dengan kafir daripada berkerjasama dengan UMNO yang zalim", Ustaz Ahmad Awang, PAS. Maka dari situ sangguplah mereka bergabung dengan DAP harbi lalu mencukupkan gabungan kerusi DAP + PKR yang tidak mencecah majoriti mudah.

Inilah yang diterima UMNO setelah UMNO mencadangkan gabungan untuk membentuk kerajaan bersama-sama PAS. Malah ingin memberi MB daripada PAS dan barisan exco pun terdiri juga daripada PAS dan UMNO. Tapi kafir yang diutamakan berbanding saudara seIslam malah sebangsa. Kalau tahu zalim, tegur dan betulkan dan senaraikan perkara-perkara kezaliman kepada mahkamah untuk tindakan. Ini tidak, yang jadi mangsa tetap rakyat Perak Melayu Islam yang memberi "mandat" kepada "Pakatan Rakyat" sekarang.

---------

Sahabat sekalian, perpecahan yang berlaku antara parti-parti yang sememangnya Melayu Islam memang diratapi. Penulisan saya di atas adalah untuk membuka mata terhadap kepentingan beberapa orang yang sanggup bersekongkol dengan DAP harbi untuk membentuk kerajaan sehingga tidak memikirkan penyatuan dan kepentingan bangsa Melayu Islam di Perak, serta penulisan itu untuk menunjukkan kuasa yang DAP perolehi dan kesannya yang bakal berlaku kepada Melayu Islam di Perak. Bukan saya ingin anda menyokong UMNO atau masuk UMNO tetapi saya ingin bawa anda kepada politik bangsa Melayu Islam di Perak khususnya dan Malaysia amnya yang kita semua sedari, makin terhakis.

Maka apa tanggungjawab kita? Jangan serang bangsa lain yang tak bersalah, bukan itu yang saya inginkan kerana kita yang mengamalkan Islam secara sederhana sudah tentu menyayangi bangsa lain dan mereka berhak untuk maju di Malaysia. Jadi bagaimana kita nak "serang" mereka yang kafir harbi itu? Sudah tentu melalui penyatuan kita Melayu Islam. Negeri Perak khususnya bagi anak Perak dan Malaysia amnya kepada Melayu Islam adalah tuan tanah atau "tuan rumah" Tanah Melayu ini. Penyatuan kita untuk mendapatkan semula pemerintahan Melayu Islam yang sebenar di negeri Perak ini adalah tujuan utama yang perlu kita letakkan dalam diri kita semua.

Kita perlu berhenti dari ideologi politik kepartian sekarang kerana itulah yang menyebabkan kita berpecah. Yang utama sekarang adalah negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya. Ideologi politik kita adalah politik bangsa, untuk mengekalkan kuasa di Perak dan Malaysia kerana kita yang perlu mentadbir negeri tanah kita sendiri.

Monday, June 9, 2008

Sedih mengenangkan perpaduan Melayu

Sahabat pembaca sekalian, kita telah diasingkan dengan pelbagai ideologi yang membuat kita bercakaran sesama sendiri. Pada hemat saya perbalahan kita hanya kerana perbezaan pendapat dalam konteks agama Islam, benci-membenci antara parti politik, tuding-menuding jari menyalahkan individu-individu. Perkara ini semuanya menyebabkan kita lupa bahawa agenda sebenar bangsa Melayu Islam kita ini adalah untuk maju dan berjaya di bumi sendiri.

Perpaduan Melayu terendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun – Perpaduan orang Melayu kini berada pada tahap rendah kerana mereka kini tergolong dalam pelbagai organisasi yang mempunyai pandangan dan hala tuju berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keba- nyakan mereka kini lebih suka membawa haluan sendiri dan tidak memiliki hala tuju yang spesifik berbanding masyarakat Melayu terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak lagi relevan, umpamanya dalam soal ketuanan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Malah, katanya, sejak kebelakangan ini terdapat banyak pihak yang mula mempertikaikan hak orang Melayu dan bumiputera walaupun perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Seandainya ada pihak mempertikaikan hak kita di negara ini, kita juga boleh mempersoalkan hak mereka. Tetapi ini tidak bermaksud kita menolak hak masyarakat lain yang ada di negara ini sebaliknya kita hanya mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati hak yang telah diberikan kepada mereka dan jangan sesekali mempertikaikan hak orang lain kerana ia mungkin akan menimbulkan isu perkauman.

“Kita tidak minta lebih, hanya mahu mengekalkan apa yang kita ada sahaja dan kita juga tidak mahu mengganggu hak orang lain,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga menyeru semua pihak agar bersatu supaya dapat bersama-sama memartabatkan imej serta kebudayaan orang Melayu di negara ini.

“Sudah sampai waktunya kita bangkit dan bersatu demi memartabatkan ketuanan Melayu di tanah air kita serta mendapatkan kembali apa yang telah hilang,” tegasnya.

Sunday, June 1, 2008

Menunggu realiti air percuma

Surat yang menarik mengenai pemberian air percuma di Selangor
---

SEMUA pengguna di Selangor menantikan tanggal 1 Jun ini bagi menikmati 20 meter padu air percuma yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Sudah pasti semua ini dilakukan demi kebaikan serta kebajikan penduduk di Selangor Darul Ehsan. Akan tetapi terfikirkah kita semua mampukah perkara ini menjadi realiti atau sekadar janji-janji manis bagi menyedapkan hati kita semua.

Dalam titah ucapan Sultan Selangor, semasa merasmikan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini, baginda telah menasihati agar kerajaan negeri berhati-hati dan berjimat cermat berbelanja untuk mentadbir serta mengurus negeri.

Ini seolah-olah satu isyarat tentang kedudukan kewangan negeri, sama ada bersedia dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu atau sememangnya kekurangan sumber pendapatan bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran.

Jika andaian di atas diambil kira, apakah kita akan menikmati keistimewaan mendapat air percuma mulai 1 Jun yang sepatutnya kita nikmati 1 April lalu?

Selain itu, jika kita teliti setiap berita yang berkaitan dengan pelaksanaan pemberian air secara percuma ini, ia seakan-akan tidak akan menjadi kenyataan. Ini kerana ia melibatkan beberapa pihak antaranya operator loji pembersihan air, operator perkhidmatan perbekalan air, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Dari segi kos pula, siapa yang akan menanggung beban atau menaja 20 meter padu percuma kepada rakyat Selangor? Sekiranya kerajaan negeri memberikan subsidi sudah pasti ia melibatkan wang jutaan ringgit dalam masa sebulan dan puluhan juta atau ratusan juta dalam jangka masa yang panjang.

Kita semua sedia maklum bahawa usaha merawat air bukanlah satu perkara yang mudah. Sumber air mentah yang boleh dirawat untuk kegunaan harian semakin berkurangan dan dijangka menjelang 2010 Lembah Kelang akan mengalami krisis kekurangan bekalan air. Apakah tindakan ini suatu yang rasional?

Dari aspek pelaksanaan pula, apakah mekanisme yang digunakan bagi membolehkan ia dilaksanakan secara adil dan saksama. Apakah pengguna yang masih menggunakan meter pukal juga turut menikmatinya? Apakah cukup dengan hanya 20 meter padu bagi mereka? Bagaimana pula bagi mereka yang tinggal di banglo atau rumah mewah yang menggunakan meter individu juga layak sedangkan mereka ini lebih dari mampu untuk membayar bagi 20 meter padu tersebut.

Oleh yang demikian, satu perbincangan meja bulat dengan semua pihak yang terlibat perlu segera dilakukan bagi menyelesaikan semua permasalahan ini. Di samping sesi taklimat kepada pengguna bagi menerangkan isu serta permasalahan yang berbangkit.

Seperkara lagi, cadangan kerajaan negeri bagi mengambil alih semula perkhidmatan perbekalan air juga harus diteliti dengan mendalam. Sejarah telah membuktikan sebelum ini pengurusan air yang dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri hanya merugikan semua pihak. Perbelanjaan yang besar, perkhidmatan yang tidak efisien serta kualiti air yang tidak memuaskan sentiasa menghantui pengguna.

Pengambil alihan ini juga sudah pasti melibatkan penggunaan sejumlah wang rakyat yang besar dan hasilnya belum pasti menguntungkan kerajaan negeri.

Persatuan Pengguna-penguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memohon jasa baik kerajaan negeri mengkaji dengan lebih teliti agar cadangan pemberian air percuma serta pengambilalihan pengurusan serta perkhidmatan perbekalan air tidak merugikan pengguna.

MOHAMAD ASRI SHAFII

Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya