Sunday, June 1, 2008

Menunggu realiti air percuma

Surat yang menarik mengenai pemberian air percuma di Selangor
---

SEMUA pengguna di Selangor menantikan tanggal 1 Jun ini bagi menikmati 20 meter padu air percuma yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Sudah pasti semua ini dilakukan demi kebaikan serta kebajikan penduduk di Selangor Darul Ehsan. Akan tetapi terfikirkah kita semua mampukah perkara ini menjadi realiti atau sekadar janji-janji manis bagi menyedapkan hati kita semua.

Dalam titah ucapan Sultan Selangor, semasa merasmikan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini, baginda telah menasihati agar kerajaan negeri berhati-hati dan berjimat cermat berbelanja untuk mentadbir serta mengurus negeri.

Ini seolah-olah satu isyarat tentang kedudukan kewangan negeri, sama ada bersedia dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu atau sememangnya kekurangan sumber pendapatan bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran.

Jika andaian di atas diambil kira, apakah kita akan menikmati keistimewaan mendapat air percuma mulai 1 Jun yang sepatutnya kita nikmati 1 April lalu?

Selain itu, jika kita teliti setiap berita yang berkaitan dengan pelaksanaan pemberian air secara percuma ini, ia seakan-akan tidak akan menjadi kenyataan. Ini kerana ia melibatkan beberapa pihak antaranya operator loji pembersihan air, operator perkhidmatan perbekalan air, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Dari segi kos pula, siapa yang akan menanggung beban atau menaja 20 meter padu percuma kepada rakyat Selangor? Sekiranya kerajaan negeri memberikan subsidi sudah pasti ia melibatkan wang jutaan ringgit dalam masa sebulan dan puluhan juta atau ratusan juta dalam jangka masa yang panjang.

Kita semua sedia maklum bahawa usaha merawat air bukanlah satu perkara yang mudah. Sumber air mentah yang boleh dirawat untuk kegunaan harian semakin berkurangan dan dijangka menjelang 2010 Lembah Kelang akan mengalami krisis kekurangan bekalan air. Apakah tindakan ini suatu yang rasional?

Dari aspek pelaksanaan pula, apakah mekanisme yang digunakan bagi membolehkan ia dilaksanakan secara adil dan saksama. Apakah pengguna yang masih menggunakan meter pukal juga turut menikmatinya? Apakah cukup dengan hanya 20 meter padu bagi mereka? Bagaimana pula bagi mereka yang tinggal di banglo atau rumah mewah yang menggunakan meter individu juga layak sedangkan mereka ini lebih dari mampu untuk membayar bagi 20 meter padu tersebut.

Oleh yang demikian, satu perbincangan meja bulat dengan semua pihak yang terlibat perlu segera dilakukan bagi menyelesaikan semua permasalahan ini. Di samping sesi taklimat kepada pengguna bagi menerangkan isu serta permasalahan yang berbangkit.

Seperkara lagi, cadangan kerajaan negeri bagi mengambil alih semula perkhidmatan perbekalan air juga harus diteliti dengan mendalam. Sejarah telah membuktikan sebelum ini pengurusan air yang dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri hanya merugikan semua pihak. Perbelanjaan yang besar, perkhidmatan yang tidak efisien serta kualiti air yang tidak memuaskan sentiasa menghantui pengguna.

Pengambil alihan ini juga sudah pasti melibatkan penggunaan sejumlah wang rakyat yang besar dan hasilnya belum pasti menguntungkan kerajaan negeri.

Persatuan Pengguna-penguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memohon jasa baik kerajaan negeri mengkaji dengan lebih teliti agar cadangan pemberian air percuma serta pengambilalihan pengurusan serta perkhidmatan perbekalan air tidak merugikan pengguna.

MOHAMAD ASRI SHAFII

Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya

1 comments:

juliza said...

Pak agenda,
Isu kenaikan harge minyak yg sgat melampau ni, BN mungkin bertambah hilang popularitinya..apakah komen Pak Agenda?