Showing posts with label Selangor. Show all posts
Showing posts with label Selangor. Show all posts

Friday, March 6, 2009

Raja-raja telah bersuara malah telah murka - Malaysiakini


Sultan Selangor murka

* Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan orang Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan raja-raja dan bangsanya sendiri sebagai biadap.

* Golongan ini juga disifatkan baginda sebagai tidak berbudi bahasa dan tidak ada perasaan malu kerana mempertikaikan perkara berkaitan kedudukan raja-raja dan hak orang Melayu secara terbuka.

* Kemajuan dan pembangunan yang dicapai boleh hancur jika orang Melayu terus bercakaran, disebabkan terlalu ghairah merebut kuasa.

* Tidak ada gunanya bangsa Melayu kekal di dunia tetapi tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

* Orang Melayu perlu bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka dan Islam.

Utusan

Sultan Selangor telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan (1,2) mengenai perpecahan orang Melayu sekarang. Malah sekarang jelas Tuanku menyatakan kesedihannya terhadap sikap segelintir rakyat yang mempersoalkan Raja-raja dan hak Melayu. Bagi orang Melayu yang tak faham-faham lagi, Raja-raja Melayu adalah penaung atau payung kepada semua bangsa dan terutama sekali agama Islam. Bila Raja-raja sudah menyatakan kekesalan mereka mengenai perpecahan Melayu, ini bermakna kita makin kesuntukan masa. Bersatu adalah jalan penyelesaian yang penting untuk kebangkitan bangsa Melayu. Bagaimana kita nak memartabatkan Islam lebih tinggi bila Melayu hina di tanah sendiri?

Monday, July 7, 2008

Perhimpunan protes yang sia-sia

najib

Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun yang dikendalikan pakatan pembangkang hanyalah perbuatan yang sia-sia. Yang turun hanyalah penyokong fanatik pakatan pembangkang yang rata-ratanya menurut sahaja atau menganggap apa yang dilakukan pembangkang betul belaka.

Malah disebalik alasan sekatan jalan raya oleh polis menyebabkan target mereka untuk mencecah sejuta orang gagal, mereka pula dihidangkan dengan londeh seluar dan tonggeng punggung. Ianya memalukan, dan juga mungkin melucukan.

Terbit persoalan ringkas di fikiran saya, bukan sahaja protes ini sia-sia, tetapi juga menyusahkan rakyat lain terutama sekali apabila kesesakan lalu lintas berlaku, malah protes ini juga adalah protes terhadap kenaikan harga minyak, persoalannya, tidakkah perbuatan mereka yang menyertai protes itu juga sia-sia dan membazirkan minyak kenderaan mereka? Bukan itu sahaja, malah tindakan protes itu juga menyusahkan pengguna jalan raya lain dan membazirkan minyak orang ramai yang lalu-lalang tetapi tersekat kerana kesesakan. Fikirkah mereka perbuatan menyertai protes tersebut sia-sia sahaja?

Sunday, June 1, 2008

Menunggu realiti air percuma

Surat yang menarik mengenai pemberian air percuma di Selangor
---

SEMUA pengguna di Selangor menantikan tanggal 1 Jun ini bagi menikmati 20 meter padu air percuma yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Sudah pasti semua ini dilakukan demi kebaikan serta kebajikan penduduk di Selangor Darul Ehsan. Akan tetapi terfikirkah kita semua mampukah perkara ini menjadi realiti atau sekadar janji-janji manis bagi menyedapkan hati kita semua.

Dalam titah ucapan Sultan Selangor, semasa merasmikan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini, baginda telah menasihati agar kerajaan negeri berhati-hati dan berjimat cermat berbelanja untuk mentadbir serta mengurus negeri.

Ini seolah-olah satu isyarat tentang kedudukan kewangan negeri, sama ada bersedia dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu atau sememangnya kekurangan sumber pendapatan bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran.

Jika andaian di atas diambil kira, apakah kita akan menikmati keistimewaan mendapat air percuma mulai 1 Jun yang sepatutnya kita nikmati 1 April lalu?

Selain itu, jika kita teliti setiap berita yang berkaitan dengan pelaksanaan pemberian air secara percuma ini, ia seakan-akan tidak akan menjadi kenyataan. Ini kerana ia melibatkan beberapa pihak antaranya operator loji pembersihan air, operator perkhidmatan perbekalan air, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Dari segi kos pula, siapa yang akan menanggung beban atau menaja 20 meter padu percuma kepada rakyat Selangor? Sekiranya kerajaan negeri memberikan subsidi sudah pasti ia melibatkan wang jutaan ringgit dalam masa sebulan dan puluhan juta atau ratusan juta dalam jangka masa yang panjang.

Kita semua sedia maklum bahawa usaha merawat air bukanlah satu perkara yang mudah. Sumber air mentah yang boleh dirawat untuk kegunaan harian semakin berkurangan dan dijangka menjelang 2010 Lembah Kelang akan mengalami krisis kekurangan bekalan air. Apakah tindakan ini suatu yang rasional?

Dari aspek pelaksanaan pula, apakah mekanisme yang digunakan bagi membolehkan ia dilaksanakan secara adil dan saksama. Apakah pengguna yang masih menggunakan meter pukal juga turut menikmatinya? Apakah cukup dengan hanya 20 meter padu bagi mereka? Bagaimana pula bagi mereka yang tinggal di banglo atau rumah mewah yang menggunakan meter individu juga layak sedangkan mereka ini lebih dari mampu untuk membayar bagi 20 meter padu tersebut.

Oleh yang demikian, satu perbincangan meja bulat dengan semua pihak yang terlibat perlu segera dilakukan bagi menyelesaikan semua permasalahan ini. Di samping sesi taklimat kepada pengguna bagi menerangkan isu serta permasalahan yang berbangkit.

Seperkara lagi, cadangan kerajaan negeri bagi mengambil alih semula perkhidmatan perbekalan air juga harus diteliti dengan mendalam. Sejarah telah membuktikan sebelum ini pengurusan air yang dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri hanya merugikan semua pihak. Perbelanjaan yang besar, perkhidmatan yang tidak efisien serta kualiti air yang tidak memuaskan sentiasa menghantui pengguna.

Pengambil alihan ini juga sudah pasti melibatkan penggunaan sejumlah wang rakyat yang besar dan hasilnya belum pasti menguntungkan kerajaan negeri.

Persatuan Pengguna-penguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memohon jasa baik kerajaan negeri mengkaji dengan lebih teliti agar cadangan pemberian air percuma serta pengambilalihan pengurusan serta perkhidmatan perbekalan air tidak merugikan pengguna.

MOHAMAD ASRI SHAFII

Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya